UNITED KINGDOM: Sarawak mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga bersih di Asia Tenggara dengan menyatakan komitmen untuk menjadi pengeksport tenaga rendah karbon bertaraf global menerusi penyertaan dalam Persidangan Eksport Tenaga (EEC) 2025 di Aberdeen, United Kingdom.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, berkata Sarawak berada di barisan hadapan dalam peralihan tenaga bersih ASEAN hasil gabungan dasar kukuh, pelaburan strategik dalam inovasi serta kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Sarawak bukan sekadar membangunkan tenaga bersih untuk kegunaan sendiri, tetapi bersedia menjadi pembekal utama tenaga bersih kepada rantau dan dunia. Kami mahu dikenali sebagai ‘Bateri ASEAN’,” katanya.
Beliau yang dipetik berkata dalam kenyataan media pada Khamis memberitahu bahawa Sarawak telah memperkenalkan
strategi tenaga yang berpaksikan empat teras utama iaitu tenaga boleh diperbaharui, gas asli, penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), serta hidrogen yang digerakkan secara holistik untuk menjamin pertumbuhan mampan dan daya tahan serantau.
Kini katanya, lebih 70% tenaga elektrik Sarawak dijana daripada hidroelektrik, dengan pelan pengembangan kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030 dan 2035.
Sarawak juga dalam fasa memperluas eksport tenaga ke Singapura, selepas kejayaan penghantaran kuasa ke Kalimantan Barat, Brunei dan Sabah, jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidi turut mengangkat platform EEC sebagai saluran utama untuk menarik pelabur antarabangsa.
“Sarawak terbuka untuk pelaburan. Kami membawa mesej jelas bahawa negeri ini bersedia menjadi hab utama eksport tenaga bersih, bukan hanya untuk ASEAN tetapi ke seluruh dunia,” katanya.
Sarawak Energy Berhad jelasnya turut mengetengahkan pelan integrasi grid rentas sempadan dan agenda kelestarian jangka panjang, manakala SEDC Energy mempamerkan kerjasama aktif dengan Jepun dan Korea Selatan dalam pembangunan eksport hidrogen dan ammonia.
Dengan pengiktirafan daripada Forum Ekonomi Dunia serta penglibatan dalam acara seperti Minggu Tenaga Antarabangsa 2025 dan SAREF 4.0, Sarawak kini mengorak langkah sebagai pemain global dalam ekonomi tenaga bersih.-EDISI UKAS