Pemilik Rumah di Rejang Park Diminta Tuntut Bayaran Balik Kos Baiki Tandas

Disiarkan pada 06 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Pemilik rumah di Rejang Park yang terjejas akibat masalah sistem kumbahan lama diseru supaya tampil membuat tuntutan bayaran balik kos pembaikan tandas yang telah dibiayai menggunakan wang sendiri.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, Kerajaan Sarawak telah meluluskan bantuan kewangan kepada 320 pemilik rumah yang menanggung kos pembaikan tandas berikutan kerosakan sistem kumbahan berpusat yang telah dibina sejak tahun 1970-an dan runtuh selepas lebih empat dekad digunakan.

Beliau memaklumkan bahawa isu sistem pembetungan rosak di Rejang Park telah berlarutan lebih daripada 10 tahun, sebelum tindakan penyelesaian menyeluruh diambil pada tahun 2018.

“Masalah ini telah berlarutan lebih 10 tahun. Sistem kumbahan berpusat yang dibina pada tahun 1970-an telah runtuh selepas digunakan selama 40 tahun, menjejaskan rumah kediaman dan lot-lot kedai di kawasan tersebut.

“Keadaan ini menyebabkan tandas tidak boleh digunakan, sekali gus menimbulkan isu kesihatan dan kebersihan yang serius kepada komuniti,” katanya kepada media semasa mengadakan lawatan di Rejang Park pada Khamis.

Menurut beliau, kawasan Rejang Park yang dibina pada lewat 1970-an menggunakan sistem pembetungan berpusat yang menghubungkan semua tandas di kawasan perumahan dan deretan rumah kedai kepada loji rawatan kumbahan berdekatan pasar.

Tambahnya, beliau pernah memohon peruntukan RM3 juta daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 2018 semasa menjadi Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Selepas projek tersebut selesai, beliau menerima aduan daripada pemilik rumah yang telah membaiki tandas menggunakan wang sendiri, sebelum inisiatif pembiayaan kerajaan dilaksanakan.

Jelasnya, mereka telah memohon bayaran balik memandangkan pemilik rumah lain mendapat bantuan kerajaan.

Setelah melalui proses teknikal yang panjang, beliau sekali lagi mendapat kelulusan Premier Sarawak bagi menyediakan bantuan kewangan kepada baki 320 pemilik rumah berkenaan.

Namun begitu, proses pengesanan pemilik rumah dan pengesahan pemilik rumah terbabit yang layak menjadi cabaran ketika ini.

"Kapitan kawasan sedang bertungkus-lumus mengesan kesemua 320 pemilik rumah tersebut, namun ada yang sukar dikesan; ada yang telah meninggal dunia tanpa memindahkan hak milik, ada yang tinggal di luar negara, dan ada juga yang enggan memberikan kerjasama kerana bimbang ditipu,” katanya.

Datuk Michael Tiang berkata, beliau sendiri turun padang melawat rumah demi memberikan jaminan dan membuat pengesahan tuntutan.

Ujarnya, jumlah bayaran balik akan diumumkan kemudian, namun mengenal pasti semua penerima yang layak adalah menjadi keutamaan buat masa kini.

Sehubungan itu, beliau menyeru pemilik rumah yang layak untuk menghubungi Pusat Khidmat SUPP Pelawan serta membawa dokumen seperti MyKad, geran tanah, dan bil penilaian terkini bagi tujuan pengesahan. - EDISI UKAS