KANOWIT: Budaya ‘Ngiling Tikai’ perlu dikekalkan sebagai salah satu warisan unik masyarakat Dayak agar tidak pupus ditelan arus pembangunan dan modenisasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, budaya ini perlu dikekalkan dan perlu diadakan setiap tahun sebagai satu simbolik penutupan perayaan Hari Gawai bagi komuniti Dayak.
Justeru, beliau menyeru agar generasi muda diberi pendedahan serta galakan untuk terus mempelajari dan mewarisi adat ini daripada datuk nenek mereka.
"Golongan muda perlu mengekalkan budaya tersebut supaya tidak hilang ditelan arus permodenan," katanya semasa menghadiri Majlis Ngiling Tikai anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Awin di Sungai Mapai di sini pada Khamis.
Beliau mengharapkan lebih banyak rumah panjang dan JKKK mencontohi usaha JKKK Rh. Awin dalam menganjurkan majlis 'Ngiling Tikai' kerana penting dalam usaha mengekalkan budaya dan adat resam kita.
Dalam majlis sama, Tuai Rumah Awin turut membangkitkan keperluan untuk menaik taraf rumah panjang mereka.
Sebagai maklum balas, Anyi menjelaskan bahawa beliau akan memohon peruntukan daripada Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan bagi menampung kos naik taraf tersebut. -EDISI UKAS