BINTULU: Lima buah rumah di MLNG Housing, Fasa 2, Jalan Abang Usop, Kidurong musnah dalam satu kebakaran lewat malam 31 Mei lalu, ketika orang ramai masih dalam suasana sambutan Gawai Dayak.
Susulan kejadian itu, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Dato Majang Renggi segera turun padang meninjau lokasi kebakaran serta bertemu dengan mangsa yang terlibat.
Menurut beliau, berita duka ini sangat menyentuh perasaannya lebih-lebih lagi apabila berlaku sewaktu masyarakat Dayak sedang meraikan Gawai Dayak.
“Ia tentunya satu ujian yang sangat berat bagi keluarga yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam lawatan tersebut, Dato Majang turut disertai wakil Pejabat Daerah Bintulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi melihat keadaan semasa dan berbincang tentang bantuan segera yang boleh diberikan.
“Kami sedang usahakan bantuan awal termasuk penempatan sementara dan sokongan emosi kepada mangsa supaya mereka tidak dibiarkan menghadapi dugaan ini seorang diri,” katanya lagi.
Dato Majang turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak, terutamanya pasukan bomba yang bertindak pantas mengawal api daripada merebak ke rumah lain.
“Saya sangat menghargai kecekapan dan dedikasi semua anggota barisan hadapan termasuk PDRM, BOMBA, APM, dan JKM yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan penduduk,” kata Dato Majang lagi.
Beliau turut mendoakan agar semua mangsa tabah dan diberi kekuatan untuk membina semula kehidupan.
Setakat ini, punca kebakaran masih disiasat pihak berkuasa.
Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terutama ketika musim perayaan yang biasanya menyaksikan peningkatan penggunaan elektrik dan aktiviti memasak.-EDISI UKAS