BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menggesa Sarawak Energy Berhad (SEB) agar mempercepat dan memperkemas proses pemindahan nama serta pemasangan meter elektrik yang didakwa mengambil masa terlalu lama dan menyusahkan penduduk.
Menurut beliau, aduan mengenai kelewatan proses tersebut semakin meningkat sejak lawatan pertamanya ke pejabat SEB sebelum ini, dengan ada penduduk memaklumkan bahawa permohonan pemindahan meter mengambil masa sehingga setahun untuk diselesaikan.
“Seorang penduduk berkongsi bahawa proses pemindahan meter dari pemilik lama ke baharu mengambil masa hampir setahun. Ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya kepada media selepas lawatan susulan ke pejabat SEB Wilayah Bintulu pada Rabu.
Beliau menjelaskan bahawa antara punca utama kelewatan adalah disebabkan keperluan pengguna untuk mengemukakan permohonan melalui kontraktor pihak ketiga, sebelum diserahkan kepada SEB.
“Saya faham bahawa pengguna perlu melalui kontraktor yang seterusnya menghantar permohonan kepada SEB, dan maklumat hanya disampaikan secara berperingkat.
"SEB harus mencari cara untuk mempercepat dan mempermudah proses ini,” ujar Johnny lagi.
Dalam pertemuan bersama Ketua Perkhidmatan Pelanggan SEB, Johnny turut menekankan keperluan untuk SEB lebih telus dalam memberi maklumat kepada pemohon mengenai status permohonan mereka.
“Jika permohonan sedang diproses dan dijangka mengambil masa dua minggu, perkara ini harus dimaklumkan kepada pengguna.
“Ketelusan sebegini dapat membantu meningkatkan kefahaman, kesabaran dan kepercayaan orang ramai terhadap SEB,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai aplikasi SEB Care, beliau memuji inisiatif tersebut tetapi mencadangkan agar ia ditambah baik dengan ciri penjejakan status permohonan secara langsung.
“Saya percaya jika SEB dapat melaksanakan saranan ini, ia bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan, tetapi juga mengembalikan keyakinan pengguna di Bintulu terhadap perkhidmatan mereka,” tambah beliau.
Lawatan Johnny ini mencerminkan komitmennya dalam memastikan penyampaian perkhidmatan utiliti asas kepada rakyat Bintulu terus dipertingkat dan selari dengan keperluan semasa.-EDISI UKAS