KUCHING: Program Sarawak–Malaysia My Second Home (S-MM2H) terus mendapat sambutan hangat dengan hampir 600 permohonan diluluskan sepanjang tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata Sarawak menarik minat ramai kerana suasananya yang selamat, kemudahan perubatan berkualiti serta peluang pendidikan yang baik.
“Ramai pemohon dari Eropah dan China memilih Sarawak sebagai tempat yang selamat dengan kemudahan perubatan yang baik, khususnya golongan warga emas yang mementingkan sistem kesihatan.
“Selain itu, ramai ibu bapa dari Korea menghantar anak mereka belajar di sekolah di sini, seperti di Tunku Putra, dan turut memohon program S-MM2H,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Lions Clubs International District 308-A2 Leo Forum 2025 di Raia Hotel dan Convention Centre, Kuching pada Khamis.
Dato Sri Abdul Karim juga menjangkakan jumlah permohonan diluluskan tahun ini kekal pada tahap sama.-EDISI UKAS