UKAS Dan Pustaka Negeri Sarawak Jalin Kerjasama Strategik, Perkasa Penyampaian Maklumat

Posted on 05 Jun 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Unit komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berhasrat untuk menjadikan Pustaka Negeri Sarawak sebagai rakan strategik dalam pelbagai bidang khususnya dari sudut penyampaian dasar dan inisiatif kerajaan negeri kepada masyarakat.

Perkara itu disuarakan oleh Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan semasa mengetuai delegasi UKAS mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli hari ini.

Dalam perkongsiannya, beliau berkata peranan Pustaka Negeri Sarawak sebagai pusat maklumat dan sumber rujukan utama bagi masyarakat sangat relevan dengan fungsi yang dimainkan oleh UKAS.

“Kunjungan hormat ini bertujuan untuk kita membincangkan kerjasama strategik yang boleh kita laksanakan bersama pihak Pustaka Negeri Sarawak.

“Pustaka Negeri Sarawak mempunyai banyak aktiviti yang boleh dikongsikan bersama dengan kita lebih-lebih dalam peranan menyebarluas dasar dan inisiatif-inisiatif kerajaan Sarawak.”

Sebagai permulaan, Awang Putrayusrie mengajak Pustaka Negeri Sarawak bekerjasama dalam penganjuran pelbagai aktiviti dan program untuk memeriahkan sambutan Hari Sarawak 2025.

Antara yang dirancang adalah penganjuran pameran berkaitan sejarah perjalanan pengisytiharan Hari Sarawak serta inisiatif-inisiatif Premier Sarawak dan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS2030).

Bagi tujuan itu, beliau mencadangkan pameran tersebut diadakan di Pustaka Cawangan Kuching, Sibu dan Miri.

Sementara itu, Japri menyambut baik cadangan UKAS untuk menjadikan Pustaka Negeri Sarawak sebagai rakan strategiknya dan bersedia berkolaborasi untuk memastikan apa jua informasi berkaitan dasar dan inisiatif kerajaan negeri sampai dengan berkesan kepada rakyat.

Kunjungan berlangsung selama kira-kira dua jam itu turut digunakan oleh Awang Putrayusrie dan Japri berkongsi mengenai fungsi dan peranan kedua-dua agensi tersebut.

Kedua-dua pihak turut berkongsi pandangan dan idea yang konstruktif dalam menambahbaik perkhidmatan dan penyampaian informasi kepada masyarakat. - EDISI UKAS