Sarawak Kongsi Pelan Hala Tuju Pembangunan Tenaga Bersih Di EEC

Posted on 05 Jun 2025
Source of News: UKAS


SCOTLAND: Sarawak sekali lagi mencatat nama di pentas antarabangsa apabila dijemput untuk berkongsikan pelan hala tuju pembangunan tenaga bersih wilayah ini sempena Persidangan Eksport Tenaga (EEC) 2025.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dalam perkongsian berkenaan mengetengahkan pelaburan utama dalam tenaga hidro, pengeluaran hidrogen, dan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui yang menjadi asas kepada komitmen Sarawak untuk mencapai pelepasan sifar bersih dan mewujudkan dirinya sebagai hab tenaga bersih serantau.

Sehubungan itu, beliau menerusi satu kenyataan media pada Rabu mengajak pelabur global dan rakan teknologi untuk meneroka serta menyokong projek tenaga mampan di Sarawak, menandakan kesediaan wilayah ini untuk memacu pertumbuhan dan inovasi.

Dengan langkah ini, beliau menegaskan bahawa Sarawak akan terus mengambil pendekatan yang proaktif untuk memastikan alam sekitar di wilayah ini terus mampan sekaligus mencapai visi untuk menjadi contoh dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia Tenggara.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel; Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar; Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman; serta delegasi Sarawak yang lain. -EDISI UKAS