KUCHING: Lions Clubs International District 308-A2 Leo Forum 2025 merupakan platform penting dalam melahirkan generasi muda yang yakin, berdaya saing dan berjiwa sukarelawan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan penglibatan pelajar dalam program kelolaan Lions Club sebagai pelaburan awal dalam membentuk kepimpinan berasaskan nilai dan kesedaran sivik.
“Ia adalah satu landasan terbaik untuk membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar serta menyemai semangat kesukarelawanan sejak usia muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian forum tersebut di Raia Hotel dan Convention Centre, Kuching pada Khamis.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, nilai sukarelawan yang diterapkan sejak peringkat sekolah mampu membentuk generasi yang lebih peka dan bersedia menyumbang kepada masyarakat apabila dewasa kelak.
“Apabila semangat ini dibina ketika mereka masih di sekolah, ia membantu membentuk peribadi yang suka menyumbang kepada masyarakat. Inilah nilai yang saya lihat diperjuangkan oleh Lions Club dan Leo Club,” katanya lagi.
Forum yang disertai seramai 351 delegasi daripada 36 Kelab Leo dari Sarawak dan Sabah ini berlangsung bermula hari ini hingga 7 Jun 2025.-EDISI UKAS