SIBURAN: Sarawak berdepan keperluan mendesak untuk menambah bilangan doktor veterinar bertauliah bagi menangani isu jangkitan dan penyakit ternakan yang boleh menjejaskan komoditi serta keselamatan makanan negeri ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, walaupun ternakan di Sarawak masih bebas daripada penyakit seperti penyakit kaki dan mulut (FMD), jumlah doktor veterinar yang amat rendah di negeri ini boleh mengundang risiko pada masa hadapan.
“Kita hanya mempunyai seramai 15 veterinar di Sarawak dan semasa lawatan saya ke Brazil, mereka mempunyai lebih 4,000 veterinar jika dibandingkan dengan kita di sini,” katanya semasa lawatan kerja ke Kompleks Penyembelihan Halal, di sinipada Khamis.
Mengulas isu kekurangan tenaga profesional dalam bidang tersebut, beliau berkata kerajaan Sarawak kini merancang untuk membangunkan sebuah institut latihan veterinar dan perubatan sendiri di Semenggoh.
“Namun, Kerajaan Sarawak kini sedang merancang untuk membangunkan institut latihan veterinar dan perubatan kita sendiri, di Semenggoh,” jelasnya.
Tambah beliau, langkah ini bukan sahaja bertujuan menambah bilangan tenaga pakar dalam industri ternakan tetapi juga untuk melahirkan lebih ramai profesional tempatan yang dapat menyumbang secara langsung kepada pembangunan sektor makanan dan komoditi negeri.
“Untuk perancangan jangka pendek, kita terpaksa mengambil kepakaran dan tenaga kerja daripada Indonesia dan Semenanjung Malaysia yang mana buat masa ini masih tidak lagi mencukupi.
“Jadi inilah perkara yang perlu kita usahakan dan apabila kita berjaya mengeluarkan sekurang-kurangnya 50 graduan setahun, saya boleh yakin bahawa kita akan berada dalam keadaan yang lebih baik,” ujarnya lagi.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben; Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain; Pengurus Besar SEDC, Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir; serta tetamu kehormat lain.— EDISI UKAS