Sarawak Sasar 60,000 Ekor Lembu Menjelang 2030

Posted on 05 Jun 2025
Source of News: UKAS


SIBURAN: Kerajaan Sarawak meletakkan sasaran untuk mengeluarkan 60,000 ekor lembu menjelang tahun 2030 sebagai langkah penting dalam meningkatkan tahap Sara Diri Bekalan (SSL) wilayah ini dan membina rantaian bekalan daging yang mampan.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sasaran tersebut bukan hanya simbolik, tetapi disokong oleh pelbagai pelaburan strategik termasuk ladang ternakan di dalam dan luar negara, pusat feedlot, serta usaha integrasi pertanian bersama pemain industri tempatan.

“Sasaran kita adalah untuk sekurang-kurangnya mengeluarkan 60,000 ekor lembu menjelang 2030, bersamaan kira-kira 25 peratus daripada SSL kita dan sekarang ini kita bergerak ke arah yang betul.

“Kita mempunyai ladang di Rosewood, Australia Utara dan kita juga ada ‘feedlot’ di Karambungan, serta beberapa projek pertanian integrasi bersama ladang kelapa sawit di mana Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) juga sedang terlibat dalam penternakan, dan kini mempunyai sebanyak 3,500 ekor ternakan,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan ke Kompleks Penyembelihan Halal, di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, SSL Sarawak kini telah meningkat daripada 13 peratus kepada 16 peratus, satu petunjuk jelas bahawa pendekatan jangka panjang mula membuahkan hasil.

Namun, untuk terus maju, beliau menegaskan pentingnya membina rantaian bekalan yang lengkap, merangkumi pengeluaran huluan, pemprosesan hiliran dan akses pasaran.

“Sebab utama mengapa kita menghadapi masalah dalam kemajuan sektor pertanian adalah kerana kita tidak mempunyai rantaian bekalan yang lengkap - maksudnya, kita minta orang tanam sesuatu, mereka akan lakukan.

"Tetapi masalah timbul pada bahagian pasaran dan aspek-aspek lain yang berkaitan,” jelas beliau.

Dalam usaha sama, Dato Sri Dr Stephen Rundi turut mendedahkan, Sarawak juga akan mengeluarkan keju mozzarella tempatan menjelang hujung tahun, di mana kedua-dua produk ini bukan sahaja memenuhi keperluan tempatan tetapi juga disasar untuk pasaran eksport.

Berhubung dengan bekalan lembu sempena Hari Raya Korban pada hujung minggu ini, beliau memberi jaminan bahawa bekalan setakat ini adalah mencukupi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben; Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain; Pengurus Besar SEDC, Datu Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir; serta tetamu kehormat yang lain. -EDISI UKAS