KUCHING: Karnival Kesihatan Pandu Puteri 2025, anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Sarawak, akan diadakan pada 24 Ogos ini bertempat di perkarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), bermula dari jam 6.30 pagi hingga 12 tengah hari.
Yang Dipertua PPPM Sarawak, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud berkata, karnival ini bukan sekadar memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, malah menjadi platform memperkasakan remaja wanita melalui penglibatan dalam aktiviti positif dan pembangunan kendiri.
“Penganjuran ini juga bertujuan mengumpul dana bagi membiayai pelaksanaan program persatuan seperti latihan, kemahiran, perkhemahan serta pembelian kelengkapan penting termasuk komputer riba untuk kegunaan ahli PPPM,”jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini pada Khamis.
Tambah Dato Dayang Morliah, karnival yang dijangka menghimpunkan lebih 1,000 peserta itu akan menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti senam zumba, larian 3 kilometer fun run, cabutan bertuah, saringan kesihatan percuma, kempen derma darah serta gerai jualan makanan, minuman dan produk berkaitan kesihatan.
Majlis perasmian dan upacara flag-off akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Turut dijangka hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chew Yew serta Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket promosi awal (early bird) sehingga 30 Jun 2025 dengan harga serendah RM15 bagi pakej asas.
Sementara itu, pakej premium ditawarkan pada harga RM30 (seorang), RM55 (berdua), RM78 (bertiga) dan RM100 (berempat) yang merangkumi baucar tunai RM20, penyertaan cabutan bertuah, sijil penyertaan digital, cenderahati, sesi zumba dan saringan kesihatan percuma.-EDISI UKAS