SUPP Bintangor Rai Ulang Tahun Ke-66, Fokus Teruskan Pembangunan Meradong

Disiarkan pada 05 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


BINTANGOR: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-66 dalam satu majlis sederhana tetapi bermakna di Pejabat SUPP Bintangor pada Rabu.

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong merangkap Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing dan isteri, Datin Kueh Nai Fun, bersama barisan kepimpinan parti termasuk Timbalan Pengerusi Chieng Boung Ong, Setiausaha Lau Sie Hing, Bendahari Lee Ngin Soon, Ketua Pergerakan Wanita Cr Chieng Ming Kiong, Ketua Pemuda Ley Chee Hua serta ahli-ahli wanita dan pemuda parti.

Dalam ucapannya, Datuk Ding menzahirkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama padu seluruh ahli parti yang terus bergiat aktif dalam mendepani isu setempat dan menyokong agenda pembangunan kawasan.

“Kekuatan parti terletak pada perpaduan akar umbi dan kesungguhan semua peringkat dalam menyantuni keperluan masyarakat,” katanya.

Beliau turut berkongsi perkembangan projek pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan di Daerah Meradong, termasuk pembinaan kolam renang, tebingan sungai, jambatan Kampung Muhibah–Kampung Rancak, jalan baharu Janting ke Sungai Tulai, Dewan Sentral baharu, taman rekreasi Bintangor, pusat hemodialisis di Tulai, serta penaiktarafan saluran paip air di Pasar Bintangor dan Sungai Mador.

Bagi memperkukuh jaringan kepimpinan akar umbi, cadangan penambahan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat di beberapa kawasan turut telah dikemukakan kepada Kerajaan Sarawak agar memudahkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, jelas Datuk Ding.

Tambahnya, program kemasyarakatan juga akan diteruskan menerusi Pergerakan Wanita dan Pemuda SUPP Cawangan Bintangor, termasuk Larian Hari Sarawak dan pertandingan mewarna kanak-kanak sempena Hari Kebangsaan 2025.

Selain itu ujarnya, program Mobile Service To U akan dijalankan setiap bulan di rumah panjang dan sekitar bandar Bintangor, sebagai usaha mendekati masyarakat dan menyampaikan maklumat serta khidmat bantuan secara langsung.-EDISI UKAS