Gym Komuniti Debak Dirasmikan, Galak Belia Saribas Libat Diri Dalam Sukan

Posted on 04 Jun 2025
Source of News: UKAS


DEBAK: Kemudahan sukan moden terus diperluas ke kawasan luar bandar apabila Gym Komuniti Debak dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam pada Rabu.

Terletak di Pusat Komuniti Debak, gimnasium tersebut merupakan inisiatif untuk menyediakan ruang kondusif kepada golongan belia tempatan bagi mengasah potensi dalam bidang sukan dan kecergasan, selain mendidik mereka ke arah gaya hidup sihat.

Menurut Datuk Mohammad Razi, gimnasium ini bukan sahaja bertindak sebagai pusat kecergasan fizikal, malah berperanan sebagai medan pembentukan disiplin dan pembangunan sahsiah.

“Kita mahu melihat lebih ramai belia Saribas tampil sebagai atlet yang bukan sahaja cemerlang, tetapi berdaya saing di peringkat negeri dan kebangsaan,” katanya.

Menariknya, Gym Komuniti Debak dikendalikan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak (LAKMD), dan terbuka kepada orang ramai dengan kadar sewaan berpatutan dengan hanya RM3 bagi setiap sesi atau RM30 bagi langganan bulanan.

Kadar istimewa turut ditawarkan kepada pelajar sekolah berumur 18 tahun ke bawah pada harga RM1 setiap kemasukan.

Kemudahan tersebut dilihat sebagai pemangkin kepada aspirasi Sarawak dalam melahirkan lebih ramai atlet luar bandar yang berpotensi tinggi, selain menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti riadah dan kecergasan.

Dalam pada itu, Datuk Mohammad Razi turut memaklumkan bahawa Kompleks Sukan Debak akan dinaik taraf menerusi pelaksanaan Fasa 2 pembinaan yang merangkumi penambahan astaka, tapak parkir serta ruang kemudahan lain yang lebih menyeluruh.

Majlis perasmian turut diserikan dengan kehadiran pemimpin masyarakat, wakil-wakil NGO dan pemuda setempat yang menyambut baik usaha memperkasa pembangunan belia menerusi pendekatan berasaskan komuniti.-EDISI UKAS