Qayyum, Suriana & Yusuf Ungguli ‘Samarahan Got Talent’

Disiarkan pada 18 May 2024
Sumber Berita: UKAS




KOTA SAMARAHAN: Muhammad Qayyum Haqim, Suriana Bahrol dan Yusuf Mas menunjukkan kelas mereka tersendiri apabila masing-masing berjaya mengungguli pertandingan ‘Samarahan Got Talent’ bagi kategori Bintang Kecil, Bintang Remaja dan Bintang Otai Nang Steady.

Kejayaan ketiga-tiga bintang dalam kategori masing-masing sekaligus membolehkan mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM300 berserta sijil penyertaan.

Nur Alia Munirah, Mickey Myle dan Affendi BJ pula menduduki kedudukan naib johan bagi ketiga-tiga kategori tersebut sekaligus membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM250 dan sijil penyertaan.

Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh Nur Raihana untuk kategori Bintang Kecil Mahazail Isma bagi kategori Bintang Remaja dan Dimas bagi kategori Bintang Otai Nang Steady yang mana masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200 berserta sijil penyertaan.

Acara pertandingan karaoke ‘Samarahan Got Talent’ itu merupakan anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) bersama Family Fitness Samarahan.

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada kesemua pemenang ialah Timbalan Residen Bahagian Samarahan Anuar Da'an.
Seramai 40 orang peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan ‘Samarahan Got Talent’ pada kali ini dan seramai lima peserta daripada setiap kategori akan mara ke peringkat seterusnya untuk merebut gelaran johan.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan Dato Peter Minos, Pemangku Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Samarahan Gustian Durani dan Pengerusi Pengelola Festival Makanan dan Budaya Samarahan (SFCF) 2024 Dr Florine Christy. -EDISI UKAS