Karnival 4 Sejerut Tahun 2025 Meriah, Medium Erat Silaturrahim & Lonjak Ekonomi Tempatan

Posted on 04 Jun 2025
Source of News: UKAS


SPAOH: Karnival Sejerut 4 Tahun 2025 yang menghimpunkan empat buah kampung di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas berlangsung meriah di Gelanggang Serbaguna Kampung Tanjung Assam, di sini pada Selasa.

Karnival tahunan ini merupakan acara bergilir antara empat kampung utama, iaitu Kampung Sebemban, Kampung Tanjung Assam, Kampung Belingan, dan Kampung Buda dengan Kampung Tanjung Assam dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran karnival yang mendapat sambutan hangat daripada komuniti setempat.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Mohammad Razi Sitam.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan program seperti ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh semangat perpaduan, silaturrahim dan kerjasama antara masyarakat kampung, walaupun berada di bawah pentadbiran yang kompleks merangkumi Pejabat Daerah Kecil Spaoh, Pejabat Daerah Pusa dan Pejabat Daerah Kecil Debak.

“Karnival Sejerut ini bukan sahaja sebagai wadah untuk penduduk berhibur dan beriadah, malah mampu menjadi pemangkin kegiatan ekonomi setempat,” ujar beliau.

Jelasnya, karnival ini bukan sahaja menyajikan pelbagai acara sukan dan hiburan, malah menyediakan peluang kepada penduduk tempatan untuk menjalankan aktiviti keusahawanan seperti gerai jualan makanan, kraftangan dan produk tempatan.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa permohonan Skim Pembesaran Kampung oleh penduduk Kampung Tanjung Assam akan diusulkan semula bagi menampung keperluan penduduk yang semakin bertambah. -EDISI UKAS