KUCHING: Kesetiaan kepada perjuangan asal dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman menjadi tunjang ketahanan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) selama 66 tahun, tegas Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden SUPP, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian.
Berucap pada upacara menaikkan bendera sempena ulang tahun ke-66 SUPP di Ibu Pejabat SUPP, Jalan Tan Sri Ong Kee Hui pada Rabu, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua ahli parti di seluruh Sarawak yang menyemarakkan sambutan secara serentak di cawangan masing-masing.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parti kita di seluruh cawangan – dari pekan kecil hingga ke bandar – yang turut menganjurkan majlis menaikkan bendera SUPP hari ini.
"Ia bukan sekadar sambutan ulang tahun ke-66 parti, tetapi satu penegasan terhadap visi dan misi asal penubuhan kami, iaitu ‘Sarawak First’ sejak 1959,” katanya.
Menurut beliau, SUPP bukan hanya parti pelbagai kaum pertama di Sarawak, tetapi juga antara peneraju utama dalam pembinaan negeri ini sejak sebelum penubuhan Malaysia lagi.
“Kita meraikan bukan hanya usia, tetapi kesinambungan perjuangan asal pengasas parti. Perjuangan itu masih relevan – untuk menjadikan Sarawak sebagai keutamaan.
"Hari ini kita perbaharui komitmen kita terhadap prinsip Sarawak First,” tegasnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pemimpin dan ahli parti dari generasi ke generasi yang kekal setia walaupun melalui pelbagai cabaran dan ujian politik.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar perpaduan dalam parti dan antara komponen GPS terus dikekalkan.
Turut hadir dalam upacara ini ialah Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Timbalan Presiden SUPP Dato Sri Lee Kim Shin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang merangkap Timbalan Ketua Setiausaha Agung SUPP Dato Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin, dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng.-EDISI UKAS