Ngabang Gawai Meriah di Sungai Mallang, Bakong, 300 Penduduk Turut Serta

Disiarkan pada 04 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Suasana penuh kemeriahan menyelubungi sambutan Gawai Dayak di Sungai Mallang, Bakong pada Isnin apabila program Ngabang Gawai diadakan buat julung kalinya melibatkan tiga buah rumah panjang – Rumah Lendy Cedric, Rumah Juliana Esah dan Rumah James Kaya.

Program berkonsepkan kunjung-mengunjung ini bukan sahaja menghidupkan semula semangat tradisi masyarakat Dayak, malah berjaya mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk serta memberi ruang kepada golongan belia untuk lebih mengenali komuniti setempat.

Idea penganjuran tercetus daripada Tuai Rumah Juliana Esah (Sg Mallang Atas) dan disambut baik oleh Tuai Rumah Lendy Cedric (Mallang Sg Kara), Tuai Rumah James Kaya (Sg Mallang Sanin Ulu) serta Ahli Majlis Daerah Marudi, Cr Martin Dinil.

Menurut Juliana, kejayaan penganjuran kali ini diharap menjadi pemangkin untuk pelaksanaan program yang lebih besar pada masa akan datang.

“Kami berharap pada tahun-tahun mendatang, program ini dapat diperluas dengan penyertaan semua sembilan rumah panjang di kawasan Sg Mallang, Bakong,” ujarnya.

Program berkonsepkan kunjung-mengunjung ini bukan sahaja menghidupkan semula semangat tradisi, malah berjaya mengeratkan silaturahim antara penduduk serta memberi ruang kepada golongan belia untuk lebih mengenali komuniti sekitar.

Program yang bermula jam 1.00 petang dan berlanjutan hingga ke malam itu telah disertai kira-kira 300 penduduk dari ketiga-tiga rumah panjang yang terlibat, sekali gus membuktikan sambutan hangat daripada komuniti setempat.

Antara pengisian menarik sepanjang program berlangsung termasuk persembahan Ngajat Ngelingi Ranyai, Ngirup Ai Pengayu, nyanyian lagu-lagu Gawai serta pelbagai hiburan lain yang menyemarakkan suasana.-Edisi UKAS