BARAM: Tradisi Ngabang Gawai terus disemarakkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil apabila beliau turun padang mengunjungi beberapa rumah panjang di kawasan Baram Hilir sempena perayaan Gawai Dayak, pada Isnin.
Antara rumah panjang yang diziarahi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu termasuk Rumah Assam, Rumah Frederick, Rumah George, Rumah Ngelingkong, Rumah Chabop, Rumah Mekal, Rumah Budin dan Rumah Nawah – menandakan komitmen beliau untuk terus memelihara budaya kunjung-mengunjung yang menjadi simbol perpaduan masyarakat pelbagai etnik di Sarawak.
Perjalanan Ngabang Gawai kali ini dilakukan melalui laluan sungai menggunakan bot ekspres, mencerminkan cabaran logistik di kawasan pedalaman namun tidak menjadi halangan untuk meneruskan tradisi ini.
Lebih 70 orang menyertai rombongan Ngabang tersebut, terdiri daripada ketua masyarakat, ketua kaum, ahli majlis dan ahli-ahli parti politik dari kawasan DUN Marudi, merangkumi pelbagai latar belakang etnik. -Edisi UKAS