Kursus Aeroangkasa Pacu Aspirasi Sarawak Bina Modal Insan Mahir

Posted on 03 Jun 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak kini melakar satu lagi pencapaian bersejarah apabila kerajaan negeri memperkenalkan kursus aeroangkasa di institusi pengajian tinggi tempatan.

Ia menerusi penubuhan Akademi Aeroangkasa di CENTEXS Lundu yang mencerminkan komitmen negeri untuk membina tenaga kerja mahir dalam bidang teknologi tinggi serta memperkukuh ekosistem aeroangkasa serantau.

Langkah berani ini mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat, khususnya dalam kalangan belia yang melihat bidang aeroangkasa sebagai peluang kerjaya berprestij dan berpendapatan tinggi.

Selain teori, kursus ini turut menekankan aspek latihan praktikal seperti kejuruteraan pesawat, teknologi dron, dan sistem komunikasi satelit.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn, sebelum ini menyatakan bahawa industri ini berpotensi mewujudkan sehingga 30,000 pekerjaan baharu, sejajar dengan misi Sarawak menjadi hab pelancaran satelit orbit rendah (LEO) di Asia Tenggara.

Kedudukan strategik Sarawak yang terletak di garisan khatulistiwa menjadikannya lokasi ideal untuk pelancaran satelit, sekaligus membuka peluang kerjasama dengan syarikat antarabangsa seperti Airbus.

Antara perancangan lain termasuklah pembangunan kampus aeroangkasa di Lundu serta penubuhan fakulti aeroangkasa di i-CATS University College.

Pengenalan kursus ini turut dijangka memberi limpahan ekonomi kepada negeri dengan merancakkan industri sokongan seperti pembuatan komponen, penyelenggaraan teknikal, dan perkhidmatan logistik.

Ia juga menandakan peralihan Sarawak daripada ekonomi tradisional kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Namun begitu, kejayaan jangka panjang bergantung kepada usaha bersepadu pelbagai pihak, dari segi pelaburan dalam infrastruktur, penyediaan tenaga pengajar berkualiti hingga ke kerjasama industri yang kukuh bagi menjamin kebolehpasaran graduan.

Secara keseluruhannya, pengenalan kursus aeroangkasa ini bukan sahaja selari dengan transformasi digital dan teknologi negeri, tetapi juga membuka lembaran baharu buat generasi muda Sarawak untuk menjulang nama negeri ke persada global.-EDISI UKAS