MIRI: Buat julung kalinya, bandar raya Miri akan menjadi tuan rumah Karnival Tradisi Gawai Dayak Peringkat Negeri 2025, yang dijadual berlangsung pada 12 dan 13 Jun ini di FORUM Cultural Centre, Miri.
Pengerusi Penganjur, Dato Dennis Ngau berkata, pemilihan Miri sebagai lokasi penganjuran adalah usaha membawa kemeriahan sambutan Gawai lebih dekat kepada masyarakat di utara Sarawak, di samping memperkenalkan kekayaan adat dan budaya masyarakat Dayak kepada generasi muda serta pelancong.
“Lebih 13 acara permainan tradisi akan dipertandingkan sepanjang dua hari berlangsungnya karnival ini,” katanya semasa Majlis Makan Malam Penangguhan Highlanders 2025 Edisi Ke-25 pada Isnin.
Menurut Dato Dennis antara acara menarik yang bakal memeriahkan siang hari ialah pertandingan tarik tali, menyumpit dan pelbagai sukan tradisional lain, dengan jumlah hadiah keseluruhan mencecah RM500,000.
Katanya lagi, pada malam 12 Jun, pentas utama FORUM Cultural Centre akan dihidupkan dengan pertandingan tarian tradisional Datun Julud dan persembahan Sape Duo serta kemasukan pengunjung adalah percuma.
ADUN Telang Usan itu menambah, acara kemuncak pula akan berlangsung pada malam 13 Jun menerusi pertandingan Miss Gawai Sarawak 2025, yang menghimpunkan para ratu Gawai dari seluruh bahagian negeri termasuk Kuching, Sibu, Bintulu dan Sri Aman.
“Pertandingan ini akan dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Gawai Peringkat Negeri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dengan hadiah utama RM15,000 menanti pemenang.
“Tiket masuk bagi acara ini ialah RM20 seorang, tidak termasuk makan malam,” ujarnya.
Dato Dennis turut memaklumkan bahawa kawasan parkir dalam FORUM akan ditutup bagi memberi laluan kepada pengisian karnival.
Justeru, katanya, pengunjung disarankan menggunakan tempat letak kereta di Terminal Bas Baru, di mana perkhidmatan shuttle percuma disediakan dari jam 6 pagi hingga 12.30 tengah malam sepanjang dua hari acara.
“Kita mahu pastikan semua pengunjung selesa dan dapat menikmati karnival ini tanpa sebarang kesulitan,” tambah beliau.
Karnival ini dijangka menarik ribuan pengunjung dari seluruh negeri dan bakal menjadi antara sambutan Gawai terbesar pernah dianjurkan di Miri.