Warisan Budaya Bidayuh Terus Dipelihara Dalam Sambutan Gawai Dayak Kampung Pichin

Disiarkan pada 03 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Sambutan Gawai Dayak di Kampung Pichin bukan sekadar pesta tahunan, tetapi menjadi manifestasi jelas usaha gigih masyarakat Bidayuh dalam memelihara dan mengekalkan warisan budaya nenek moyang mereka yang semakin bernilai di tengah arus pemodenan.

Pakaian tradisional, irama gong, permainan rakyat ‘mironcong’ serta persembahan tarian kebudayaan yang diadakan malam Isnin lalu menyerlahkan komitmen penduduk kampung terhadap kelestarian budaya mereka.

Antara persembahan yang mencuri tumpuan ialah Tarian ‘Nantang Julu’ yang unik kerana melibatkan tujuh lelaki membawa seekor ayam kampung, satu simbolik yang diwarisi sejak turun-temurun.

Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem yang hadir merasmikan sambutan tersebut, memuji kesungguhan masyarakat kampung dalam mempertahankan warisan mereka.

“Saya amat bangga dengan usaha penduduk Kampung Pichin yang tidak hanya menyambut Gawai, tetapi turut menjadikan ia medan untuk mempersembahkan keunikan budaya Bidayuh.

"Budaya seperti inilah yang harus dipelihara dan diwariskan agar tidak pupus ditelan zaman,” katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa sambutan seperti Gawai perlu diteruskan setiap tahun bukan sahaja sebagai simbol perpaduan, tetapi sebagai cara memartabatkan budaya tempatan di mata generasi muda dan pengunjung luar.

“Sambutan ini bukan sekadar pesta, tetapi ruang penting untuk memperkenalkan budaya kita kepada dunia luar.

"Ia mampu membina rasa bangga dalam kalangan anak muda terhadap identiti mereka,” tambah beliau.

Menariknya, sambutan kali ini turut menarik kehadiran pengunjung dari pelbagai kaum termasuk dari kaum Cina yang datang jauh dari Sibu, Miri, dan Semenanjung Malaysia.

Kehadiran mereka membuktikan bahawa budaya Bidayuh mempunyai daya tarikan yang universal.

Dalam majlis yang sama, Dato Sri Richard turut merasmikan sebuah dewan kecil atau ‘balu’ yang siap dibina pada Oktober 2024 hasil peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos sebanyak RM526,000.

Beliau juga menyeru agar kemudahan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti sebagai pusat aktiviti sosial, kebudayaan dan pentadbiran kampung.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penghulu Dennis Gamin; Rev. Father Augustine Singh; Pengerusi PPKP, John Jadol dan Ketua Kaum Rioi Lagit. -EDISI UKAS