KUCHING: Pengumuman Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan pendidikan tinggi percuma bermula tahun 2026 terus mendapat reaksi positif daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Bagi Irda Suriati Wen, seorang penjawat awam di negeri ini, berita berkenaan ibarat cahaya baru buat ibu bapa yang hanya mampu memasang impian untuk melihat anak mereka ke menara gading.
“Saya bersyukurlah dengan apa yang direncanakan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak. Program seperti ini sepatutnya sudah lama dilaksanakan sebab ia boleh tingkatkan semangat anak-anak Sarawak untuk menuntut ilmu.
"Masalah kewangan sekarang memang jadi penghalang utama. Tapi dengan adanya program ini, saya rasa jalan untuk anak-anak belajar jadi lebih mudah,” katanya ketika ditemubual wartawan UKAS hari ini.
Tambahnya, pendidikan adalah keutamaan utama dalam kehidupan.
“Pendidikan adalah perkara yang paling penting. Tanpa pendidikan, kita tidak akan jadi apa-apa.”
Bagi Siti Hara Ibrahim, dasar ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkasakan rakyat melalui peluang pendidikan.
“Dengan menyediakan pendidikan tinggi percuma, lebih ramai pelajar, terutamanya dari luar bandar dan keluarga B40, akan ada peluang untuk belajar tanpa beban kewangan.
"Ini akan kurangkan jurang pendidikan dan ekonomi, dan bantu lahirkan masyarakat berpengetahuan dan berdaya saing.”
Beliau percaya pendekatan ini bukan sahaja membantu pelajar, tetapi memberi impak besar kepada pembangunan negeri secara keseluruhan.
Sementara itu, Nur Batrisyia, seorang wanita muda yang sudah bekerja, mengakui dirinya masih terikat dengan bayaran pinjaman pendidikan.
“Masa saya belajar dulu, semua guna PTPTN. Sekarang dah kerja, separuh gaji saya masih pergi untuk bayar balik pinjaman. Anak muda selepas ini dapat mula hidup lepas belajar tanpa beban hutang.”
Beliau menyambut baik dasar ini bukan hanya dari sudut kebajikan, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang negeri.
“Dasar ini akan bantu pembangunan Sarawak. Bila lebih ramai anak muda Sarawak dapat belajar, mereka akan jadi tenaga kerja terlatih. Dan bila tak terikat dengan hutang, mereka lebih bebas menyumbang balik kepada ekonomi negeri.”
Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang akan bermula pada 2026 merangkumi pembiayaan penuh yuran pengajian untuk anak Sarawak yang melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda di empat universiti milik Sarawak iaitu Swinburne University of Technology Sarawak; Curtin University Malaysia; University of Technology Sarawak (UTS) dan i-CATS University College.
Pelajar dari keluarga B40 turut bakal menerima elaun sara hidup RM15,000 setahun, bermula tahun 2026.