Pemimpin Negeri Raikan Semangat Gawai di Rumah Terbuka Pengerusi PWOUM

Disiarkan pada 02 Jun 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Sempena sambutan Hari Gawai 2025, dua pemimpin negeri iaitu Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin dan Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang, telah menghadiri rumah terbuka Pengerusi Persatuan Wanita Orang Ulu Miri (PWOUM), Kijan Toynbee, di kediamannya di Pujut 3B pada Isnin.

Lawatan dimulakan seawal jam 9 pagi oleh Dato Sri Lee diikuti ketibaan, Adam Yii sekitar jam 11 pagi.

Dato Sri Lee ketika ditemui media, mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada semua yang meraikannya dan menzahirkan rasa bangga terhadap tradisi rumah terbuka yang diamalkan masyarakat Sarawak.

“Kita di Sarawak mengamalkan tradisi yang sangat istimewa, di mana rumah terbuka menjadi wadah penyatuan rakyat berbilang kaum dan agama. Semangat Segulai Sejalai inilah kekuatan sebenar negeri kita,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya menyertai sambutan rumah terbuka Gawai di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bersama barisan kepimpinan negeri, yang menurutnya mencerminkan keharmonian dan semangat kekitaan rakyat Sarawak.

Menurut beliau, budaya muhibah ini perlu terus dipupuk, terutamanya dalam kalangan generasi muda, demi masa depan Sarawak yang lebih sejahtera dan bersatu.

“Sarawak adalah negeri yang berwarna-warni. Keunikan budaya, kaum dan agama inilah yang menjadikan kita kuat dan berbeza. Ia harus dikekalkan dan dihargai oleh semua lapisan masyarakat,” tambahnya.

Beliau turut memuji dasar kerajaan negeri yang inklusif dan menyeluruh dalam menyantuni semua komuniti tanpa mengira latar belakang, termasuk melalui penubuhan unit khas bagi menyokong pelbagai agama di Sarawak.

Kehadiran kedua-dua pemimpin ini memeriahkan lagi suasana rumah terbuka, sekali gus mengukuhkan jalinan erat antara pemimpin dan komuniti setempat yang hadir meraikan Hari Gawai dalam suasana harmoni dan penuh mesra.-EDISI UKAS