KUCHING: Sambutan Hari Gawai Dayak bukan sekadar perayaan budaya, tetapi perlu dijadikan wadah penyatuan kaum Dayak serta pemangkin kepada penglibatan yang lebih bermakna dalam pembangunan negeri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam perutusan khas sempena Hari Gawai Dayak 2025 berkata, semangat yang diperjuangkan pemimpin Dayak terdahulu seperti mendiang Dato Sri Tra Zehnder, yang memperjuangkan pengiktirafan rasmi Gawai pada awal 1960-an, harus terus disemarakkan.
“Saya percaya para pemimpin Dayak seperti mendiang Dato Sri Tra Zehnder juga berhasrat supaya Gawai Dayak menjadi platform penyatuan kaum Dayak di samping memperkasakan status budaya dan ekonomi kaum Dayak di Sarawak,” katanya.
Sempena perayaan itu juga, beliau mengumumkan beberapa inisiatif penting kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meningkatkan taraf hidup rakyat luar bandar dan generasi muda negeri ini.
Antara yang diumumkan ialah cadangan menaik taraf 5,000 kilometer jalan balak yang tidak lagi digunakan, khususnya di kawasan pedalaman seperti Kapit, untuk dijadikan jalan raya awam.
“Jika rancangan ini dapat dilaksanakan, ia akan mempertingkatkan keterhubungan di kawasan luar bandar dengan sistem jalan raya yang lebih teratur dan tersusun,” jelas beliau.
Langkah itu dijangka memberi impak besar terhadap kemudahan akses, perhubungan serta peluang ekonomi bagi komuniti luar bandar.
Datuk Patinggi Abang Zohari turut mengumumkan pelaksanaan inisiatif pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi bermula tahun hadapan menerusi dasar Free Tertiary Education Sarawak (FTES).
Inisiatif ini katanya akan melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM300 juta untuk tahun pertama, bagi menampung yuran pengajian 10,000 pelajar di empat buah universiti milik penuh Kerajaan Sarawak.
Lebih bermakna, pelajar daripada keluarga berpendapatan bawah RM1,500 sebulan turut akan menerima elaun sara hidup tahunan sebanyak RM15,000, bagi memastikan tiada anak Sarawak tercicir hanya kerana kekangan kewangan, ujarnya.
“Saya percaya dengan langkah ini, ramai anak Sarawak daripada keluarga kurang berkemampuan dan mereka dari kawasan luar bandar akan berpeluang menuntut ilmu dalam jurusan terpilih di peringkat ijazah,” katanya.
Mengakhiri perutusannya, Premier Sarawak mengajak seluruh masyarakat Dayak untuk memanfaatkan musim perayaan ini bukan sahaja sebagai ruang beramah mesra, tetapi juga sebagai platform bertukar pandangan ke arah perpaduan dan kemajuan bersama.
“Gawai Dayak harus menjadi satu titik penyatuan kaum Dayak, oleh itu dalam suasana keriangan ini boleh menjadi platform untuk bertukar-tukar pendapat dalam usaha memperkukuhkan perpaduan dan iltizam kaum Dayak ke arah penglibatan yang lebih bermakna dalam proses transformasi ekonomi negeri ini,” tambah beliau.
Beliau dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut merakamkan ucapan Selamat Hari Gawai kepada seluruh masyarakat Dayak yang meraikannya.-EDISI UKAS