PUSA: Komuniti setempat, khususnya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), diseru agar memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu pihak sekolah memantau dan membimbing pelajar demi meningkatkan tahap pencapaian akademik di kawasan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor, menyuarakan kebimbangan terhadap pencapaian pelajar di kawasannya yang masih jauh daripada sasaran.
Menurut beliau, pendidikan merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipikul secara kolektif, memandangkan anak-anak tempatan merupakan aset masa depan yang akan menentukan hala tuju pembangunan komuniti.
“Pendidikan harus diberi perhatian serius oleh semua pihak. Saya amat dukacita apabila melihat prestasi pelajar di kawasan kita yang masih lemah.
"JKKK dan komuniti perlu berganding bahu dengan pihak sekolah dalam membendung isu seperti pelajar ponteng, kurang motivasi serta masalah keciciran pelajaran,” katanya ketika berucap dalam satu perjumpaan bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang diadakan di Masjid Al Amin, Beladin pada Jumaat.
Tambah beliau, sokongan terhadap pelajar tidak semestinya berbentuk kewangan semata-mata, malah perlu merangkumi aspek pemantauan, bimbingan serta penyediaan suasana pembelajaran yang kondusif di rumah dan di peringkat kampung.
Selain menekankan kepentingan pendidikan, Razaili juga menyentuh peranan KMKK dalam menyampaikan maklumat berkaitan pelbagai bentuk bantuan yang disediakan oleh kerajaan, khususnya kepada golongan sasar seperti warga emas, ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa terhadap jumlah pemohon bantuan seperti Kenyalang Gold Card (KGC) dan bantuan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang masih rendah di kawasan Beting Maro berbanding kawasan lain.
“KMKK perlu lebih proaktif mengesan golongan yang layak menerima bantuan kerajaan, khususnya bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak.
"Gunakan saluran sedia ada seperti koperasi dan sentiasa mengemas kini profil kampung secara berkala bagi memudahkan proses pengesanan dan penyaluran bantuan,” tegasnya lagi.-EDISI UKAS