MIRI: Pengguna jalan raya diseru agar mengambil tanggungjawab lebih besar dalam memastikan keselamatan diri dan orang lain, terutama menjelang musim perayaan yang menyaksikan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin menegaskan bahawa kejayaan mana-mana kempen keselamatan jalan raya tidak akan bermakna sekiranya pengguna sendiri masih bersikap cuai dan tidak berdisiplin ketika memandu.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Gawai di perkarangan PermyMall Miri, pada Jumaat.
Kempen tersebut merupakan kerjasama antara Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya Bahagian Miri, dengan objektif utama meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengguna jalan raya sempena musim perayaan.
Menurut beliau, sikap pemandu memainkan peranan paling penting dalam mencegah kemalangan, lebih-lebih lagi ketika musim perayaan seperti Gawai, Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Krismas.
“Semasa musim perayaan, bilangan kenderaan meningkat dan risiko kemalangan juga bertambah.
“Oleh itu, kita semua, sebagai pengguna jalan raya, perlu memainkan peranan masing-masing, bukan sekadar bergantung pada penguatkuasaan pihak berkuasa,” tegasnya.
Beliau mengingatkan orang ramai agar mematuhi had laju, tidak menggunakan telefon ketika memandu, memastikan kenderaan dalam keadaan baik, memakai tali pinggang keledar dan mengelakkan memandu dalam keadaan letih, mengantuk atau di bawah pengaruh alkohol.
“Kajian menunjukkan bahawa pemandu yang memandu melebihi dua hingga tiga jam tanpa rehat akan menjadi cepat letih dan kurang fokus.
"Maka saya nasihatkan agar rehat setiap dua jam, atau gunakan pemandu gantian jika perlu,” tambah beliau.
Dalam masa yang sama, beliau turut berkongsi statistik kemalangan jalan raya di Miri bagi tempoh Januari hingga April 2025 yang menunjukkan penurunan sebanyak 4.10 peratus berbanding tahun lalu, daripada 1,130 kepada 1,091 kes.
Kemalangan maut menurun daripada 19 kepada 14 kes, manakala jumlah kematian juga berkurangan daripada 20 kepada 14 orang.
Walaupun penurunan ini menggalakkan, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab sebenar terletak di bahu setiap individu yang berada di jalan raya. -EDISI UKAS