SMK Three Rivers Meriah Sambut Hari Guru dan Program RIMUP Pra Gawai

Disiarkan pada 30 May 2025
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Suasana penuh meriah menyelubungi Gelanggang Berbumbung SMK Three Rivers Mukah apabila warga sekolah itu menyambut Majlis Sambutan Hari Guru dan Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) Pra Gawai pada Rabu.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Three Rivers, Mohd Nazir Besiri yang turut menyampaikan amanat khas bersempena sambutan Hari Guru.

Dalam ucapannya, Mohd Nazir menegaskan bahawa peranan guru dalam membentuk masa depan anak-anak bangsa adalah seiring dengan jasa ibu bapa yang tidak ternilai.

Beliau menyeru agar para pelajar menghargai peluang menimba ilmu daripada guru-guru dan menyifatkan guru sebagai tonggak kepada kecemerlangan pendidikan.

“PIBG berharap warga pendidik dapat meneroka pelbagai kaedah pengajaran yang lebih kreatif dan relevan dengan teknologi semasa seperti kecerdasan buatan (AI) dan dunia digital yang semakin berkembang.

"Ini penting agar kaedah pengajaran selari dengan kehendak generasi masa kini yang membesar dengan gajet,” katanya.

Beliau turut menyokong tema Hari Guru tahun ini, “Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”, dan menyeru kerjasama erat antara guru dan PIBG demi kejayaan murid.

Mengulas mengenai Program RIMUP Pra Gawai, beliau memuji usaha sekolah dalam menyemai semangat perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum.

“Program sebegini membuka ruang untuk pelajar mengenali adat dan budaya rakan-rakan mereka dengan lebih dekat, seperti tradisi Gawai Dayak masyarakat Iban dan Bidayuh. Ini adalah asas kukuh bagi membina perpaduan sejak dari peringkat sekolah lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua SMK Three Rivers, Donny Dahlan, dalam ucapan alu-aluannya berkongsi pencapaian cemerlang keputusan SPM 2024 sekolah itu yang mencatat gred purata 4.59 dengan kadar kelulusan 95.8%, rekod terbaik setakat ini.

Sasaran baharu ditetapkan bagi kohort SPM 2025 dengan gred purata 4.50 dan peratusan lulus 98%.

Majlis turut diserikan dengan Lafaz Ikrar Hari Guru, penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), pengiktirafan peningkatan akademik SPM 2024, serta persembahan koir guru, nyanyian dan gimik Pra Gawai oleh pelajar dan guru.-EDISI UKAS