Seni Jambatan Perpaduan dan Perubahan Sosial

Disiarkan pada 30 May 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Seni berperanan penting sebagai jambatan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum serta sebagai pemangkin kepada perubahan sosial yang positif.

Ia ditegaskan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee ketika merasmikan pameran seni bertajuk Encounter yang dianjurkan bersama oleh Misi Injil Borneo (BEM) dan Gereja Kristian Hosanna di Hosanna Care Centre di sini pada Khamis.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu, seni dalam pelbagai bentuknya seperti muzik, tarian, teater, lukisan, kesusasteraan dan filem merupakan bahasa sejagat yang melampaui batas politik, kaum, agama serta latar belakang.

“Dalam dunia yang sering menekankan perbezaan, seni mengingatkan kita akan nilai kemanusiaan sejagat. Ia memainkan peranan penting dalam memupuk persefahaman budaya dan perpaduan masyarakat,” ujarnya.

Beliau turut memuji dua penggiat seni tempatan, Clara Ling dan Ngu Nei Cui atas penghasilan dan kurasi bersama pameran tersebut yang disifatkannya sebagai “suatu ekspresi bermakna perjalanan budaya dan kerohanian.”

Katanya, Sarawak yang kaya dengan lebih 30 kumpulan etnik dan kepelbagaian adat serta bahasa, mempunyai potensi besar menjadikan seni sebagai alat penyatuan rakyat.

“Seni menceritakan kisah tentang siapa kita, dari mana kita datang, dan ke mana arah tuju kita. Ia membolehkan kita melihat kehidupan daripada perspektif orang lain dan menyediakan ruang selamat untuk dialog dan ekspresi,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam menyokong pembangunan sektor kreatif, antaranya melalui projek seperti Muzium Budaya Borneo yang siap pada 2022 di mana kini menjadi muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara serta Pusat Seni Persembahan Sarawak yang dijangka siap menjelang 2027.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa usaha memartabatkan seni bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya merupakan misi bersama seluruh rakyat Sarawak.

Beliau juga berharap pameran Encounter mampu memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menjalani kehidupan berteraskan integriti, belas kasihan serta berpaksikan keadilan dan nilai keagamaan. - EDISI UKAS