Kerajaan Sarawak, Persekutuan Perkukuh Kerjasama Tangani Isu Kewarganegaraan Kanak-Kanak Di Sarawak

Posted on 30 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Usaha menangani isu dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan dalam kalangan kanak-kanak di Sarawak terus diperkukuh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan menerusi pelbagai inisiatif bersepadu bersama.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, dalam lawatan kerja rasminya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak, menegaskan bahawa kerjasama strategik ini penting bagi menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak yang terkesan akibat ketiadaan status kewarganegaraan.

“Kerajaan Sarawak sentiasa komited dan bersedia berganding bahu dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Dalam Negeri dan JPN, untuk menyelesaikan isu rumit ini secara sistematik dan berperikemanusiaan,” ujar beliau dalam ucapan sempena lawatannya, pada Jumaat.

Antara inisiatif utama hasil kerjasama ini termasuklah penubuhan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) peringkat negeri yang berperanan menyaring permohonan kewarganegaraan bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan sebelum dibawa ke peringkat pusat.

Sejak ditubuhkan, JKKSK telah memproses puluhan permohonan melibatkan kategori anak tidak sah taraf, anak angkat dan anak jagaan.

Selain itu, pelaksanaan Program Pasukan Petugas Khas (PPK) oleh Jabatan Premier Sarawak dengan kerjasama JPN Sarawak membuktikan kesungguhan kedua-dua pihak dalam mempercepatkan pemprosesan permohonan dokumen pengenalan diri.

Sepanjang 2023 hingga kini, lebih 13,000 permohonan telah diterima dengan hampir separuh daripadanya telah diluluskan.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak turut memperkenalkan dasar tambahan dengan membenarkan indikator ‘K’ dimasukkan dalam kad pengenalan kanak-kanak yang menerima kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, bagi memastikan identiti mereka diiktiraf selaras dengan kedudukan ibu bapa sebagai pemastautin tetap negeri ini.

Tegasnya, pendekatan kolaboratif ini bukan sahaja mempercepatkan proses permohonan tetapi turut meminimumkan kes kanak-kanak yang terpinggir akibat ketiadaan dokumen sah.

“Ini adalah tanggungjawab bersama antara Kerajaan Sarawak dan persekutuan demi menjamin hak asas setiap anak untuk mendapat identiti dan akses kepada pendidikan serta kesihatan,” tambahnya.

Lawatan rasmi ini turut disertai agensi strategik negeri termasuk Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), dan Unit Pentadbiran Jabatan Premier Sarawak. -EDISI UKAS