Permohonan MRP Perlu Ada Tujuan Jelas

Posted on 30 May 2025
Source of News: UKAS


SELANGAU: Permohonan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) perlu disertakan dengan tujuan yang jelas dan spesifikasi yang tepat bagi memastikan peruntukan yang diluluskan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta mengingatkan para Tuai Rumah bahawa setiap permohonan hendaklah dirancang secara teliti dan realistik.

"Spesifikasi juga hendaklah dibuat dengan betul, contohnya ada yang letak dalam permohonan panjang paip sejauh 5 kilometer tetapi sebenar adalah 1 kilometer sahaja," katanya semasa Majlis Penyerahan Geran MRP di Pejabat Daerah Selangau pada Khamis.

Edwin turut menekankan MRP sepatutnya digunakan untuk projek-projek penting bagi meningkatkan kemudahan dan keperluan asas rumah panjang, bukan untuk perkara-perkara tidak perlu seperti pembelian hamper sempena perayaan.

Beliau juga menyarankan agar permohonan diselaraskan dengan projek-projek lain seperti MyKHAS bagi projek melebihi RM50,000 yang dibiayai Kerajaan Persekutuan, serta program Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) oleh Kerajaan Sarawak.

Pada majlis tersebut, seramai 73 Biro Wanita Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang serta Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sinaran Kasih Tatau, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Pakoh dan Tabika KEMAS Meruan Dijih menerima geran MRP dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM405,200. -EDISI UKAS