KUCHING: Mangsa kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 29 Januari yang lalu di Kampung Lereng Bukit, Miri akan ditempatkan di kawasan baharu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan projek tersebut akan bermula selepas Hari Gawai kelak dan akan dilaksanakan oleh agensi Kerajaan Sarawak.
"Sebagaimana yang berlaku melibatkan masalah kerosakan total atau kerosakan sepenuhnya di 15 buah rumah di Miri, perkara ini juga telah dipersetujui untuk dilaksanakan selepas sambutan Hari Gawai kerana isu tanah telah pun diperoleh dan diselesaikan.
"Kita juga telah bersetuju untuk menurunkan kuasa pelaksanaannya kepada agensi kerajaan negeri bagi melaksanakan projek ini, dan tidak lagi menggunakan FELCRA Bina atau pihak MARA sebagai pelaksana," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media selepas mempengerusikan Sesi Taklimat Pelaksanaan Program Dan Projek Pembangunan Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) di Kuching pada Jumaat.
Difahamkan, penempatan ini telah dipilih dan ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA) berdekatan di kawasan perkampungan Orang Ulu Rurum Kelabit di Miri.
Sementara itu, Datuk Patinggi Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri KKDW turut memberitahu kementeriannya terus komited untuk melaksanakan semua projek sakit di Sarawak yang dilaksanakan oleh kementerian tersebut.
Ujarnya, terdapat lima projek sakit yang melibatkan isu tapak seperti permit, pengambilan tanah dan pertindihan jajaran paip di samping faktor cuaca.
"Saya sendiri telah meminta kepada Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, untuk melakukan penyelarasan dan melaporkan setiap minggu bagi tujuan pemantauan serta pelaksanaannya.
"Mudah-mudahan, sekiranya terdapat sebarang permasalahan daripada kementerian-kementerian lain yang melibatkan peruntukan yang tidak dapat disalurkan atau dilaksanakan, ia dapat diselesaikan dengan segera.
"Ini penting kerana rakyat di Sarawak mesti diberikan keutamaan, selaras dengan keutamaan-keutamaan yang telah dikenalpasti oleh rakyat, khususnya di kawasan desa dan luar bandar di seluruh Malaysia. Sarawak juga perlu menikmati apa yang diperoleh oleh negeri-negeri lain di Malaysia ini," jelasnya.
Tambahnya, sesi taklimat ini juga merupakan arahan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim susulan lawatan kerja sehari ke Kuching pada 19 April yang lalu.
Untuk makluman, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Sarawak menerima RM3.2 bilion bagi pelaksanaan 403 program dan projek dengan kos keseluruhan RM21.73 bilion.
Daripada jumlah itu, 178 projek (44.71 peratus) masih berstatus ‘Pra-Pelaksanaan’, termasuk 155 projek yang diluluskan dari tahun 2021 hingga 2025.
Sebanyak 91 projek atau hampir 46 peratus daripada projek berstatus ‘Pra-Pelaksanaan’ dijangka akan menerima Surat Setuju Terima (SST) selewat-lewatnya penghujung tahun 2025.
Hadir semasa sesi taklimat, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang; Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik serta Ketua-ketua Jabatan.
Usai sidang media, Datuk Patinggi Dr Zahid Hamidi menunaikan Solat Jumaat di Masjid India Kuching sebelum bergerak berjalan kaki ke Restoran Mahashafi untuk makan tengahari.
Mengiringi beliau, Dato Sri Julaihi, Datuk Martin Ben, Datuk Rubiah, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Dato Hilmy Othman dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha. -EDISI UKAS
Kredit Foto: Jabatan Penerangan Sarawak