151 Individu Terima Anugerah Kebesaran Negeri Sarawak

Disiarkan pada 29 May 2025
Sumber Berita: UKAS


KUCHING: Seramai 151 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Sarawak sebagai pengiktirafan atas jasa dan sumbangan cemerlang mereka dalam pelbagai bidang perkhidmatan kepada rakyat dan negeri di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak, pada Khamis.

Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sarawak bagi Tahun 2022 dan 2023 telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut berangkat ialah Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi.

Mendahului senarai penerima bagi Johan Bintang Sarawak (J.B.S.) ialah Pemanca Roshidi Junai, Rodger Chan Siong Boh dan Ruslan Abdul Ghani.

Yussibnosh Balo pula merupakan penerima tunggal Johan Bintang Kenyalang (J.B.K.).

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut menerima anugerah, antaranya ADUN Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan dan ADUN Serembu, Miro Simuh yang dikurniakan Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S.).

Turut disenaraikan, penerima Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K.), Ahli Bintang Sarawak (A.B.S.), Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K.), Bentara Bintang Sarawak (B.B.S.), serta pelbagai pingat perkhidmatan termasuk Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C.), Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B.), dan Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T.).

Dua penerima turut menerima Pingat Perwira Negeri (P.P.N.) (Gangsa) atas keberanian dalam melaksanakan tugas demi kepentingan negeri dan rakyat.

Istiadat ini merupakan penganugerahan bagi tahun 2023 yang tertunda dan menjadi simbol penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan berterusan semua penerima.

Dalam ucapannya, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penerima dan menzahirkan harapan agar mereka terus memberi khidmat terbaik serta menjadi teladan dalam masyarakat.-EDISI UKAS