Sarawak Lancar Blueprint Kelestarian 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Ekonomi Hijau Pertama di Malaysia

Disiarkan pada 29 May 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Sarawak mengorak satu lagi langkah besar dalam agenda kelestariannya apabila melancarkan Sarawak Sustainability Blueprint 2030, menjadikannya negeri pertama di Malaysia yang merangka pelan strategik jangka panjang untuk peralihan menyeluruh ke arah ekonomi hijau.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelan hala tuju komprehensif yang disusun oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESTY) akan menjadi kerangka strategik utama bagi menjadikan Sarawak sebagai peneraju pembangunan rendah karbon di Asia Tenggara.

“Hari ini, dengan penuh rasa bangga saya amat berbesar hati untuk melancarkan secara rasmi Sarawak Sustainability Blueprint 2030 yang pertama seumpamanya sebagai satu usaha perintis oleh mana-mana negeri di Malaysia,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Karbon Asia (Asia Carbon Conference, ACC) 2025 di sini pada Khamis.

Blueprint berkenaan menggariskan 10 teras strategik, 48 strategi khusus dan 111 pelan tindakan menyeluruh yang merangkumi setiap aspek agenda kelestarian negeri—daripada dasar hijau ke sektor sosial dan ekonomi.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pelan itu bukan sahaja menjadi panduan dalaman negeri, malah memperkukuh kedudukan strategik Sarawak dalam mendukung kepimpinan Malaysia di peringkat serantau dalam peralihan rendah karbon dan tindakan iklim secara kolektif.

“Sarawak terbuka untuk perniagaan, dan yang lebih penting, Sarawak terbuka untuk kerjasama.

"Kami menghulurkan jemputan ikhlas kepada rakan kongsi, pelabur, inovator dan negara-negara yang sealiran untuk bersama-sama menyertai perjalanan penting dan penuh potensi ini,”ujar beliau.

Untuk rekod, ACC 2025 merupakan persidangan sulung anjuran Argus Media dengan sokongan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESTY) dan Business Events Sarawak.

Persidangan itu menghimpunkan lebih 300 perwakilan dari seluruh Asia dan antarabangsa, termasuk pembuat dasar, pemain industri, penyelidik serta pakar kelestarian.

Persidangan dua hari itu antara lain mengetengahkan sesi strategik berkaitan tadbir urus karbon, pengurusan pasaran karbon, strategi pengurangan pelepasan industri, potensi tenaga boleh diperbaharui di Asia serta teknologi dan penyelesaian industri bagi penyingkiran karbon dan kawalan pelepasan.

Turut hadir, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abg Hipni, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS-EDISI UKAS