KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang untuk menghantar wartawan tempatan mengikuti program latihan eksekutif di luar negara dalam usaha memperkasa kualiti dan profesionalisme kewartawanan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, inisiatif tersebut akan dilaksanakan melalui kerjasama bersama badan-badan wartawan di Sarawak, bertujuan memberikan pendedahan antarabangsa kepada pengamal media yang berkelayakan.
“Saya telah mengarahkan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) Datuk Abdullah Saidol untuk melihat perkara ini.
“Tahun lepas saya sudah nyatakan hasrat untuk menghantar wartawan yang mempunyai latar belakang tertentu ke luar negara bagi mengikuti satu program eksekutif,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Persidangan Karbon Asia (ACC) 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Premier Sarawak menegaskan bahawa pelaksanaan program ini akan dilakukan secara sistematik dengan penilaian kelayakan bagi memastikan hanya wartawan yang memenuhi kriteria ditetapkan dihantar menyertai latihan tersebut.
“Program ini akan dijalankan bersama majlis atau persatuan wartawan yang ada di Sarawak. Akan ada proses pemilihan siapa yang layak dihantar, apakah kelayakan dan sebagainya,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan khas untuk menjayakan inisiatif tersebut sebagai pelaburan jangka panjang demi masa depan industri media di Sarawak.
Beliau berharap inisiatif itu dapat melahirkan lebih ramai wartawan yang bukan sahaja berkualiti, tetapi juga mempunyai idea dan pendekatan baharu dalam melaporkan isu-isu semasa, selaras dengan tuntutan dunia media yang semakin mencabar.
“Saya sudah bersedia. Kalau kita boleh beri pendidikan percuma kepada anak-anak Sarawak menjelang 2026, sudah tentu kita juga ada peruntukan untuk menghantar wartawan menjalani latihan eksekutif.
“Saya harap kita dapat meningkatkan kualiti laporan dan melahirkan wartawan yang mampu membawa idea-idea segar untuk mengangkat martabat kewartawanan di Sarawak,” tambah beliau.
Turut hadir, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abg Hipni, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu yang lain.-EDISI UKAS