TEBEDU: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM6 juta bagi pelbagai skim bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) kepada 2,831 orang penerima di Bahagian Serian sehingga Mei 2025.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Serian sebelum disalurkan terus ke akaun penerima bantuan.
Beliau menjelaskan, daripada jumlah keseluruhan bantuan RM6 juta, Daerah Tebedu menerima sebanyak RM2 juta dengan seramai 959 orang penerima.
"Penerima-penerima bantuan lain adalah dari Daerah Serian, Siburan dan Balai Ringin," katanya daalam Majlis Sejambak Kasih Gawai 2025 di Balai Babuk Barum, Kampung Bunan Gega/Punok pada Khamis.
Antara objektif pemberian bantuan ialah untuk meringankan beban kewangan penerima dalam persiapan menyambut hari perayaan serta menceriakan ahli keluarga dan penerima bantuan selain menambah barangan keperluan sedia ada.
Program pemberian sumbangan oleh JKMS ini telah dilaksanakan sejak 20 tahun lalu dan mensasarkan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat pada setiap musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Hari Gawai di seluruh Sarawak.
Untuk makluman, JKMS menyediakan lapan jenis skim bantuan termasuk Bantuan Warga Emas, Bantuan Kanak-Kanak dan Bantuan Am.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Norhayati Rahman, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Gerard George Entigar, Pegawai Daerah Tebedu, Allyster Alin, wakil Pegawai Daerah Siburan serta tetamu jemputan lain.-EDISI UKAS