TYT Sarawak Terima Kunjungan Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025

Disiarkan pada 29 May 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Sambutan Gawai Dayak bukan sekadar satu perayaan tahunan malah ia adalah lambang kekuatan budaya dan perpaduan masyarakat Dayak di Sarawak, yang saban tahun diraikan dengan penuh warna-warni serta semangat kebersamaan.

Mengangkat semangat ini, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2025 di Astana Negeri di sini pada Khamis.

Kunjungan itu diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang turut menyerahkan jemputan rasmi untuk dua acara utama perayaan, Rumah Terbuka Gawai Dayak pada 1 Jun dan Majlis Makan Malam Gawai Dayak pada 22 Jun di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Dalam kesempatan itu, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menzahirkan penghargaan terhadap komitmen jawatankuasa tersebut dan menyifatkan perayaan Gawai sebagai satu platform penting dalam memartabatkan budaya Dayak serta memperkukuh jalinan harmoni antara kaum di Sarawak.

Bagi Datuk Amar Douglas Uggah, penganjuran Gawai pada peringkat negeri ini merupakan bukti pengiktirafan berterusan terhadap warisan Dayak yang bukan hanya berharga untuk masyarakat itu sendiri, tetapi untuk seluruh rakyat Sarawak.

Turut hadir ialah Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai; Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Dato Majang Renggi; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigressen dan Pemantaun Projek), Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan,Datuk Dr Penguang Manggil; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang; Timbalan Menteri Pengangkutan Dato Henry Harry Jinep serta Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Dato Georgina.-EDISI UKAS
Foto: Astana Negeri Sarawak