KUCHING: Sarawak bakal melakar sejarah tersendiri apabila menjadi tuan rumah kepada dua kejohanan utama di bawah naungan Persekutuan Skuasy Asia (ASF) pada Jun 2025, iaitu Asian Individual Championship dan Asian Doubles Championship.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata, seramai 90 pemain dari 18 negara akan mengambil bahagian bagi kategori individu, manakala lapan negara akan menyertai acara beregu.
“Kedua-dua kejohanan ini akan berlangsung di Pusat Skuasy Sarawak, Petra Jaya, dengan Asian Individual Championship dijadualkan dari 17 hingga 27 Jun, manakala Asian Doubles Championship akan berlangsung dari 23 hingga 26 Jun 2025,” jelas beliau.
Menurutnya, kejohanan berprestij ini dijangka menghimpunkan pemain-pemain terkemuka dari rantau Asia, termasuk atlet bertaraf dunia dalam kelompok 10 pemain terbaik.
Antara nama besar yang dijangka menyertai kejohanan ini ialah Satomi Watanabe dari Jepun dan Sivasangari Subramaniam dari Malaysia, kedua-duanya kini berada dalam kelompok pemain skuasy elit dunia.
Dato Gerald turut menegaskan bahawa penganjuran kejohanan ini bukan sahaja penting dalam konteks pembangunan sukan, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi dan pelancongan sukan di Sarawak.
“Kejohanan ini menyumbang kepada aspirasi kita untuk menjadikan Sarawak sebagai hab sukan utama negara. Dalam masa yang sama, kita menyokong sasaran kerajaan negeri untuk menarik lima juta pelawat ke Sarawak,” katanya.
Tambah beliau, kejohanan ini turut mendapat sokongan penuh daripada Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan Persatuan Raket Skuasy Sarawak (SRAS), selain sokongan teknikal daripada rakan antarabangsa seperti Thailand.
Pihak penganjur turut memaklumkan bahawa prestasi atlet dalam kejohanan ini akan menjadi sebahagian daripada proses penilaian ranking dan seeding untuk Sukan Asia 2026 di Jepun, menjadikan penyertaan pada tahun ini lebih signifikan kepada semua pemain. –EDISI UKAS