MUT Sedia Ambil Alih Projek Utiliti Di Bawah Selian Agensi Lain

Posted on 29 May 2025
Source of News: ukas


KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) bersedia mengambil alih pelaksanaan beberapa projek bekalan air dan elektrik yang kini berada di bawah seliaan agensi lain.

Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi menegaskan penyerahan projek tersebut perlu disertakan dengan peruntukan kewangan yang mencukupi.

Jelas beliau, perkara itu telah dibincangkan bersama bekas Timbalannya, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang kini menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelarasan projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam).

“Saya dah berbincang dengan Datuk Dr Abdul Rahman agar dipertimbangkan untuk menyerahkan pelaksanaan kepada JBALB, kerana apabila projek ini siap kelak, ia akan diserahkan kepada kami,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penghargaan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di pada Rabu.

Tegasnya lagi, penyerahan tersebut tidak seharusnya dibuat tanpa peruntukan.

“Kalau diserahkan, jangan hanya serah projek sahaja. Serahkan juga peruntukannya. Kalau tidak, kita tidak cukup dana untuk siapkan projek itu,” katanya.

Tambah beliau, penyerahan projek bersama dana adalah penting bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan dan manfaatnya dapat disalurkan segera kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar yang masih memerlukan bekalan air dan elektrik yang stabil.

“Saya percaya, rakan-rakan di JBALB dan agensi air lain akan berbesar hati untuk meneruskan pelaksanaan projek ini, asalkan segala keperluan termasuk dana mencukupi,” ujarnya.

Beliau menambah, kekuatan MUT terletak pada kerjasama erat antara semua agensi dan pihak berkepentingan dalam memastikan agenda pembangunan utiliti Sarawak dapat dilaksana secara berkesan.

Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Dato Ibrahim Baki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara, dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Pengarah JBALB, Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan serta tetamu lain.-EDISI UKAS