Sarawak Perkenal Empat Dasar Strategik Baharu, Perkukuh Sektor Tenaga

Posted on 28 May 2025
Source of News: ukas


KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal melaksanakan satu rangkaian dasar yang menyeluruh dan berpandangan jauh dalam usaha memperkukuh sektor tenaga serta memastikan kelestarian pembangunan wilayah ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, empat dasar utama akan diperkenalkan bagi merangka masa depan tenaga wilayah, iaitu Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak, Pelan Tindakan Kelestarian Alam Sekitar, Dasar Peralihan Tenaga Sarawak dan Pelan Hala Tuju Kecekapan Tenaga Sarawak.
Menurutnya, pelaksanaan dasar-dasar ini dijangka membuka peluang pelaburan bernilai antara RM350 bilion hingga RM430 bilion, di samping mewujudkan sekitar 44,000 pekerjaan baharu berimpak tinggi dalam sektor tenaga untuk anak-anak Sarawak.

"Peluang pekerjaan ini akan diwujudkan menerusi industri-industri baharu yang lahir daripada pelaksanaan dasar-dasar ini.
"Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada tenaga kerja tempatan, malah merangsang pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, inisiatif ini juga berpotensi menarik pelaburan langsung domestik dan asing (FDI) serta memperkukuh daya saing Sarawak di peringkat serantau dan antarabangsa, seiring dengan aspirasi wilayah ini untuk menjadi peneraju tenaga hijau di Asia Tenggara.-EDISI UKAS