KUCHING: Sarawak kini memiliki autonomi penuh dalam pengedaran gas dan tidak lagi tertakluk kepada Akta Bekalan Gas 1993 serta subseksyen tertentu Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengesahkan bahawa perkara itu dimuktamadkan menerusi Deklarasi Bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang mengiktiraf Ordinan Pengedaran Gas (DGO) 2016 sebagai undang-undang terpakai di Sarawak.
“Kerajaan Sarawak akan melaksanakan perancangan bagi meningkatkan pengeluaran gas, memastikan penggunaannya secara mampan oleh industri dan menyokong penghasilan tenaga bersih.
"Ini penting bagi memastikan Sarawak mencapai matlamat sebagai Hab Gas Karbon Rendah di Kuching,” katanya dalam ucapan penggulungannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Beliau menjelaskan bahawa inisiatif ini berpotensi menyumbang sehingga RM120 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak serta mewujudkan 185,000 pekerjaan berpendapatan tinggi dengan PETROS memainkan peranan penting sebagai pengurus sumber dan pelaksana utama infrastruktur gas.-EDISI UKAS