KUCHING: Sarawak bertekad untuk terus kekal kukuh dan memastikan pertumbuhan ekonominya tidak terjejas walaupun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global, khususnya berikutan perang tarif dan turun naik harga minyak dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat sempena Hari Pembebasan (Liberation Day) hanya memberi kesan minimum kepada Sarawak kerana negara itu bukan rakan dagang utama wilayah ini.
Namun menurutnya, Sarawak tetap terjejas secara tidak langsung akibat ketegangan perdagangan global dan kejatuhan harga minyak kepada sekitar USD65 setong antara April dan Mei 2025, yang menjejaskan pendapatan sektor minyak dan gas.
"Unjuran semasa menunjukkan harga minyak akan berada pada purata USD66 setong pada 2025 dan dijangka menurun kepada USD59 pada 2026," katanya dalam ucapan penggulungannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Premier Sarawak juga yakin harga minyak akan mula pulih secara beransur-ansur sejajar dengan peningkatan permintaan global.
“Walaupun prospek ekonomi global penuh ketidaktentuan, kita yakin dengan daya tahan Sarawak dan strategi pembangunan yang mantap, wilayah ini akan terus berkembang maju,” tegas beliau.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, Sarawak akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif ekonomi dan memperluaskan sektor lain selain minyak dan gas bagi memastikan ekonomi negeri lebih berdaya tahan menghadapi goncangan luar.-EDISI UKAS