SKAS Ringankan Beban Rakyat, Galak Transformasi Digital Luar Bandar

Posted on 28 May 2025
Source of News: ukas


KUCHING: Pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah berjaya membawa impak besar kepada kehidupan harian rakyat negeri ini di samping terus menggalakkan transformasi digital di kawasan luar bandar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sejumlah RM464.5 juta telah berjaya disalurkan kepada 758,483 orang penerima menerusi platform e-dompet, S Pay Global.

“Inisiatif ini bukan sahaja meringankan kos sara hidup, malah turut merangsang perbelanjaan isi rumah dan menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti, khususnya peniaga kecil dan pengusaha runcit,” katanya dalam ucapan penggulungan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pelaksanaan SKAS menggunakan S Pay Global juga telah memberi kesan positif terhadap tahap celik digital rakyat, terutamanya di luar bandar.

Ujarnya, jawatankuasa kampung, persatuan belia dan biro wanita kini aktif menggunakan platform digital untuk mengurus aktiviti, menyebarkan maklumat serta mempromosikan produk tempatan secara dalam talian.

“Penggunaan S Pay Global yang dahulunya tertumpu di kawasan bandar kini semakin meluas ke kawasan luar bandar. Ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan keterlihatan organisasi setempat, tetapi juga menggalakkan penglibatan mereka dalam ekonomi digital,” jelasnya.

Jelasnya, usaha ini selari dengan visi Kerajaan Sarawak yang bukan sahaja membentuk masyarakat celik digital, tetapi turut bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat berlaku di Bumi Kenyalang. -EDISI UKAS