KUCHING: Sarawak terus mengorak langkah dalam agenda transformasi digitalnya apabila Kerajaan Sarawak menetapkan sasaran untuk mendigitalisasikan sepenuhnya kesemua 1,106 perkhidmatan kerajaan menjelang tahun 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Perkhidmatan Awam Sarawak telah berjaya mendigitalkan 55 peratus daripada perkhidmatan kerajaan pada tahun 2024.
“Pencapaian ini adalah bukti dedikasi perkhidmatan awam kita dan momentum yang semakin meningkat dalam transformasi digital kita dan paling penting, ia membawa manfaat sebenar kepada rakyat, menjadikan perkhidmatan kerajaan lebih mudah diakses, lebih pantas, dan lebih telus untuk semua rakyat Sarawak.
“Inisiatif-inisiatif ini hanyalah permulaan dan kita akan terus mempertingkatkan perkhidmatan kita dengan segera, bertanggungjawab dan berdisiplin, untuk memberikan manfaat kepada rakyat dan komuniti perniagaan,” ujar beliau semasa ucapan penggulungan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.
Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkasakan penjawat awam, Kerajaan Sarawak ujarnya telah menyediakan pelbagai peluang peningkatan kemahiran termasuk menghantar pegawai kanan mengikuti latihan di institusi ternama dunia seperti Universiti Harvard, Universiti Cambridge, London School of Economics and Political Science (LSE), Universiti Oxford dan Lee Kuan Yew School of Public Policy.
“Kita memerlukan perkhidmatan awam yang tangkas, berkemampuan dan bersedia menghadapi masa depan untuk merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Melalui profesionalisme dan disiplin pegawai kita, dasar-dasar kerajaan dapat diterjemahkan kepada pelbagai projek dan program yang memberikan impak bermakna kepada rakyat,” ujar beliau. -EDISI UKAS