Rangkaian Pengangkutan Lengkap Bantu Sarawak Muncul Sebagai Hab Tenaga Boleh Diperbaharui, Ekonomi Baharu

Disiarkan pada 28 May 2025
Sumber Berita: ukas


KUCHING: Kerajaan Sarawak komited mengukuhkan rangkaian pengangkutan lengkap bagi memastikan kesalinghubungan domestik dan antarabangsa yang lancar bagi orang dan barangan melalui udara, darat, sungai dan laut.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, rantaian bekalan yang kukuh dan mampan akan membolehkan Sarawak benar-benar muncul sebagai hab Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi baru.

“Semasa lawatan saya ke Toulouse, Perancis awal bulan ini, saya berpeluang melawat ibu pejabat ATR dan Airbus sebagai sebahagian daripada persiapan kita untuk menjadikan Sarawak sebagai hab aeroangkasa.

“Airbus menyatakan sokongan padu terhadap aspirasi Sarawak, dengan mencadangkan Laluan Perkongsian Strategik Airbus-Sarawak Kenyalang, merangkumi enam bidang utama iaitu, laluan menuju pengeluaran bahan api penerbangan mampan; pembangunan modal insan; pembangunan ekosistem industri; perjalanan digital penerbangan; projek perundingan Airbus untuk AirBorneo; dan operasi ruang udara,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, perbincangan pembangunan Aerotropolis di Sarawak turut diadakan bagi memastikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching mampu menampung lebih 15 juta pelancong setiap tahun.

Tambahnya, lawatan beliau ke Abu Dhabi membolehkan Sarawak mempelajari model global di Abu Dhabi, yang mana pelabuhannya bersambung dengan lokasi antarabangsa di seluruh Timur Tengah, Eropah, Afrika, dan Asia, sekaligus mengorak perancangan untuk meningkatkan kesalinghubungan domestik Sarawak dengan lebih baik.

“Memorandum Persefahaman antara Kumpulan Pelabuhan Abu Dhabi dan Bintulu Port Holding Berhad telah ditandatangani semasa lawatan tersebut untuk memupuk kerjasama jangka panjang dalam pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur pelabuhan, logistik maritim, dan perkhidmatan berkaitan pelabuhan di Pelabuhan Bintulu dan kawasan lain yang menjadi kepentingan bersama,” umum beliau.

Datuk Patinggi Abang Zohari menegaskan bahawa projek mega ini akan melibatkan pelaburan daripada sektor swasta, sekali gus mengurangkan beban kewangan Sarawak dan menjamin pembangunan mampan Sarawak untuk masa depan.

Dengan langkah strategik ini, Sarawak dijangka menjadi tumpuan utama pelaburan dan pembangunan teknologi hijau di Asia Tenggara, membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh ekonomi negeri dalam era revolusi industri hari ini. -EDISI UKAS