Sarawak Bersiap Sedia Jadi Hab Semikonduktor Utama di Rantau Ini

Posted on 28 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Sarawak mengorak langkah penting untuk menjadi hab semikonduktor utama di rantau ini apabila tercetusnya ‘perang’ cip antara Amerika Syarikat dan China.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ‘perang’ cip ini telah mendorong pemain global seperti Intel, TSMC dan Samsung untuk mempelbagaikan pengeluaran mereka ke Asia Tenggara, India, Eropah dan Amerika Syarikat.

Menurut beliau, ininmenandakan satu peralihan strategik daripada pengilangan tertumpu kepada wilayah yang stabil dan berkecuali dari segi geopolitik.

“Sehubungan itu, penubuhan Kerangka Strategik Semikonduktor adalah amat tepat pada masanya untuk meletakkan Sarawak sebagai hab semikonduktor bernilai tinggi di rantau ini.

“Visi kita jelas iaitu untuk menjadikan Sarawak sebagai pemain yang berdaya saing, berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan dalam industri semikonduktor global,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, kerangka ini akan memacu pelaburan merentasi keseluruhan rantaian nilai semikonduktor.

“Ini sekaligus meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak dengan menarik pelaburan berimpak tinggi, memupuk inovasi dan membina ekosistem berasaskan bakat bagi transformasi industri,” jelas beliau lagi. -EDISI UKAS