KUCHING: Kerajaan Sarawak menetapkan sasaran untuk menjadikan tenaga boleh diperbaharui sehingga 70 peratus daripada jumlah campuran tenaga negeri menjelang tahun 2035, sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh keselamatan tenaga dan mencapai pembangunan mampan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, komitmen ini digariskan melalui Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) serta Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (Sarawak Energy Transition Policy, SET-P) yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.
"Pencapaian sasaran tersebut akan didukung oleh pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui menerusi model Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), dengan matlamat kapasiti terpasang mencecah 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15 GW menjelang 2035," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Premier Sarawak turut memaklumkan bahawa minat sektor swasta terhadap projek berskala besar seperti tenaga solar, biojisim dan teknologi penukaran sisa kepada tenaga semakin meningkat.
“Bagi menyokong perkembangan ini, Kerajaan Sarawak akan menumpukan usaha kepada menaik taraf sistem penghantaran dan agihan tenaga serta memperkukuh rantaian bekalan bahan mentah untuk biojisim,” jelasnya.-EDISI UKAS