Projek 16 Jambatan Utama Tingkat Akses & Ekonomi Sarawak Menjelang 2026

Posted on 28 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Projek pembinaan 16 jambatan utama di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), melibatkan peruntukan sebanyak RM4.97 bilion, dijangka memberi impak besar kepada masyarakat serta merangsang pertumbuhan ekonomi di wilayah ini.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat ini lima daripada jambatan utama tersebut telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi.

Menurutnya, antara jambatan yang telah dibuka ialah Jambatan Marudi, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Jepak, Jambatan Batang Rajang (yang kini dinamakan semula sebagai Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang), serta Jambatan Batang Saribas 1 yang dirasmikan pada 25 Mei lalu.

“Pembinaan jambatan-jambatan ini amat penting dalam memudahkan pergerakan rakyat, khususnya komuniti di kawasan pedalaman yang sebelum ini berdepan cabaran infrastruktur," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.

Datuk Amar Douglas Uggah menambah, jaringan jambatan yang lengkap akan membuka lebih banyak peluang dalam sektor perdagangan, pertanian dan pelancongan, sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Jelasnya, lima jambatan lagi dijangka siap menjelang akhir tahun ini, termasuk Jambatan Sungai Lingga dan Jambatan Batang Kemena.

Sementara itu, baki enam projek pula dijadualkan siap sepenuhnya pada 2026, yang akan melengkapkan keseluruhan rangkaian jambatan utama tersebut.-EDISI UKAS