Prestasi Jalan Raya Di Sarawak Memuaskan, Cerminan Kualiti Keseluruhan Jalan Raya Awam

Posted on 28 May 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Indeks Prestasi Jalan Raya (RMI) di Sarawak kini telah mencecah 83.04 peratus, mencerminkan kualiti keseluruhan jalan raya awam yang ada di wilayah ini.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, meskipun sudah mencapai peratusan yang memuaskan, Kerajaan Sarawak akan terus mengambil langkah untuk mengekalkan kualiti jalan raya dengan menambah baik infrastruktur sedia ada bagi memenuhi keperluan komuniti kita serta menangani jalan-jalan yang mengalami kemerosotan teruk.

Menurut beliau, usaha ini diperkukuhkan dengan penambahan dana daripada pihak Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (MARRIS) kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada tahun ini.

“Pada masa ini, JKR Sarawak sedang giat menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya dengan menggunakan dana daripada MARRIS dan pada tahun ini, sebanyak RM500 juta telah diluluskan, peningkatan daripada RM495 juta yang diperuntukkan tahun lalu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan kementeriannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Rabu.

Berhubung penyelenggaraan jalan balak di kawasan Baram, beliau menjelaskan program perintis yang dimulakan pada Jun 2024 menemui kesukaran dari segi lokasi dan kekangan geografi yang sedia ada.

“Oleh sebab itu, kementerian saya bersama JKR Sarawak sedang meneliti semula pendekatan dan strategi pelaksanaan program perintis ini bagi meningkatkan keberkesanannya dalam menyelenggara jalan-jalan bekas pembalakan.

“Pada masa sama, JKR Sarawak sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan terhadap penyelenggaraan jalan luar bandar serta kemungkinan untuk mengambil alih jalan bekas pembalakan yang tidak lagi aktif dan jalan pembalakan yang masih aktif daripada konsesi pembalakan,” ujar beliau lagi. -EDISI UKAS