KUCHING: Kajian kebolehlaksanaan teknikal dan ekonomi bagi pembangunan Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang sedang giat dijalankan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kajian tersebut merangkumi pelbagai aspek penting seperti siasatan tapak, tinjauan batimetri, pemerhatian pasang surut, pengukuran arus laut, siasatan tanah, serta penilaian impak alam sekitar.
“Semua penilaian ini penting untuk menentukan reka bentuk pelabuhan, parameter kejuruteraan, kelestarian jangka panjang dan daya maju kewangan pembangunan tersebut.”
Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan penggulungan kementeriannya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) kini sedang menjalankan perancangan induk secara bersepadu untuk menyelaraskan semua komponen projek.
Ujarnya, ini termasuk pembangunan infrastruktur pelabuhan, sistem tenaga, teknologi penangkapan karbon dan perancangan susun atur kawasan industri.
Jelasnya, PETROS juga sedang dalam proses untuk melantik perunding teknikal antarabangsa yang berkelayakan bagi menerajui pembangunan pelan induk Kuching Low Carbon Hub (KLCH). -EDISI UKAS